welcome to my empire !!  stalker masuk || Follow or Dashboard

Saturday, February 28, 2015

AL KISAH SATU KEMARAHAN

Setelah bertungkus-lumus membantu sahabatnya memenangi satu jawatan penting, Cik Salmah tertunggu-tunggu jemputan untuk meraihkan kejayaan bersama.

Namun, jemputan daripada sahabatnya Cheku tidak sampai-sampai. 

Cik Salmah yang terkecil hati terus mengambil keputusan memutuskan bantuan yang selalu diberikan pada Cheku.

“Hilang madu sepah dibuang. Ambik ko,” bisik Cik Salmah di hatinya pada setiap hari sahabatnya Cheku tidak call mahupun menghantar sebarang SMS kepadanya.

“Waktu kempen bukan main call tiap-tiap hari. Lepas menang, tak call langsung. Menyampah,” bisik Cik Salmah lagi di hati.

Bisikan-bisikan Cik Salmah itu sedikit demi sedikit dan air liur mengumpat yang ditelannya menyebabkan timbulnya perasaan benci pada Cheku.

Akhirnya, Cik Salmah mengambil keputusan untuk tidak lagi berhubung dengan Cheku. 

Yang paling dimarahi Cik Salmah ialah pada tanggapannya, Cheku langsung tidak perasan kehilangannya. 

Setelah berminggu lamanya, Cik Salmah menerima satu sms daripada Cheku – memohon maaf dan bertanya khabar dan meminta untuk berjumpa.

Cik Salmah ingin memberikan peluang pada Cheku lalu menerima jemputan tersebut.

“Saya baru balik daripada Sabah. Bapa kena kanser tahap tiga, berdarah tak henti. Maaf tak sempat maklum. Kelam kabut saya. Jawatan baru ini pula banyak hal, keluarga pula saya tak boleh tinggal.

Sekarang bapa dah keluar wad baru lega sikit. Mah ok? Dah lama tak terima mesej Mah. 

Ingatkan Mah bercuti ke luar negara. Terima kasih banyak bantu saya. Maaf saya tak sempat lagi pun nak belanja makan atau apa-apa sebab keadaan bapa,” kata Cheku pada perjumpaan tersebut.

Hati Cik Salmah terasa sayu mendengar penjelasan Cheku.

Pertama, Cheku tidak tahu pun Cik Salmah kecik hati dengannya kerana lama tak berhubung. 

Cheku mengganggap Cik Salmah kawan sejatinya yang hubungan tidak akan putus.

Kedua, kerana ego inginkan Cheku yang menghubungi dia, Cik Salmah terlepas peluang untuk membantu sahabat terbaiknya dalam waktu dia paling memerlukan seorang kawan. 

Sebaliknya, Cik Salmah menghabiskan masa berkhayal, mengumpat dan marah tidak tentu pasal pada Cheku hanya kerana bersangka buruk.

Cik Salmah tidak berani memberitahu Cheku apa yang berlaku sebenarnya sehingga dia mengambil keputusan untuk memutus hubungan dengan Cheku kerana bimbang rakannya akan pandang serong padanya.

Nasib baik Allah masih memelihara hubungan ini. 

Cik Salmah hanya boleh menangis dalam hati penuh kesyukuran kerana Allah menyelamatkan persahabatannya dengan Cheku daripada minda sangka buruknya dan hati yang diracun air liur mengumpat.

“Cheku, you are my best friend!,” kata Cik Salmah kepada Cheku dan mereka saling berpelukan.

Cik Salmah berpeluk kerana rasa bersalah dan bersyukur mendapat sahabatnya kembali, Cheku berpeluk kerana gembira ada seorang sahabat seperti Cik Salmah yang sentiasa teguh di sisinya.

Wahai anakku,
 

Jangan biarkan minda kamu meliar memikirkan sesuatu yang belum berlaku atau bersangka buruk pada perkara yang tidak diketahui kamu.

Ego kamu akan menjadi baja kepada minda kamu untuk terus bersangka buruk. Ingatlah, perasaan membawa kepada benci adalah bisikan syaitan. 

Wahai anak kesayanganku, sekiranya minda kamu menjurus kamu ke arah perasaan negatif, berwaspadalah itu adalah bisikan syaitan.

Ketika itu, sms, telefon dan segala tindak-tanduk yang boleh menyelamatkan keadaan akan menjadi berat seperti keadaan Cik Salmah. 

Walhal, satu telefon pada Cheku pada peringkat awal sudahpun boleh mengelakkan segala konflik dalaman yang wujud di minda Cik Salmah.

Jaga air liur yang ditelan ketika bersangka buruk, kerana dari situlah, timbulnya perasaan benci dan lebih banyak gambaran sangka buruk.

Pendek kata, jangan mudah membuat kesimpulan tatkala kita tidak tahu. 

Lebih elok kekal tidak tahu daripada membuat sangkaan yang salah dan buruk, terutamanya pada sahabat dan ahli keluarga kita kerana tindak-tanduk mereka tidak mencapai tahap yang diinginkan kita.

Senyum



SUMBER : http://koleksi-ilmiah.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment